Skip to content

Selamat Datang Ke Blog Catatan Abu Umair

BITCOIN / MATAWANG CRYPTO

05/02/2018

Ketika mula diperkenalkan pada tahun 2009, nilai satu bitcoin (1 BTC) tidak sampai satu sen.
Ada direkodkan bahawa dua keping pizza Papa John’s dibeli dengan harga 10,000BTC. Apabila crypto currency mula dikenali dan dipercayai, nilai bitcoin mula menaik dan kemuncaknya setakat ini pada Disember 2017 nilai 1 BTC mencecah USD21,000.
Sehari dua yang lepas, nilainya kembali menjunam sehingga nilai 1 BTC lebih rendah daripada USD8,000.
Akhbar-akhbar sehari dua ini melaporkan nilai bitcoin menjunam sebanyak 11% pada 31 Januari 2018, dan turun lagi sebanyak 10% pada keesokannya.

Ia sebenarnya sudah dijangka, kerana bitcoin dan matawang2 crypto yang lain adalah bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan pengguna. Ia langsung tidak didasarkan kepada apa-apa aset fizikal. Jika kepercayaan orang ramai meningkat, maka naiklah nilainya, dan begitulah sebaliknya.

Bagaimana pula dari sudut HUKUM halal haram penggunaan crypto currency?
Dengan menghormati perbezaan pandangan yang ada, saya lebih cenderung kepada pandangan ulama yang mengatakan penggunaan crypto currency dengan ciri-ciri dan features yang wujud pada masa sekarang adalah tidak syar’ie.

Wallahu A’lam.

Peluang Mendapat Ganjaran Membebaskan 10 Hamba!!!!!

13/09/2017

Membebaskan hamba merupakan satu amalan yang sangat besar dalam Islam. Al-Quran menyifatkan amalan membebaskan hamba sebagai salah satu amalan ʿaqabah iaitu yang menjanjikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan menyelamatkan daripada neraka.

Firman Allah:
فَلَا اقْتَحَمَ الْعَقَبَةَ (11) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ (13)
Maksudnya: “Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu bagi orang yang mampu) ialah: membebaskan hamba abdi”. (Surah al-Balad ayat 11-13).

Di dalam satu hadis, “Sesiapa membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan, bagi setiap anggota hamba tersebut, satu anggotanya daripada api neraka” (Bukhari dan Muslim).

Bagaimana caranya memperoleh ganjaran yang setanding membebaskan hamba pada zaman sudah tidak ada lagi hamba abdi untuk dibebaskan?

Ya, kita masih berpeluang memperoleh ganjaran membebaskan hamba, bahkan membebaskan 10 hamba setiap hari. Caranya ialah kita melazimi zikir di bawah dan membacanya 100 kali pada setiap hari:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainakan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bangiNya, bagiNya segala kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu” (Bukhari dan Muslim).

Nabi –sallallahu alaihi wasallam- menyatakan bahawa sesiapa membaca zikir tersebut sebanyak 100 kali pada satu hari, maka baginya ganjaran berikut:

i- Ganjaran menyamai membebaskan 10 orang hamba
ii- Ditulis baginya 100 kebaikan
iii- Dipadam daripadanya 100 keburukan
iv- Mendapat perlindungan daripada syaitan

Baginda juga menyatakan bahawa tidak ada orang yang mengamalkan satu zikir yang lebih baik daripada zikir tersebut, melainkan orang yang mengamalkan suatu yang lebih banyak daripada itu.

Jom amalkan zikir tersebut sebanyak 100 kali sehari. Boleh dibaca 100 kali sekaligus sama ada pada waktu pagi atau petang, boleh juga dibaca separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang, asalkan cukup bilangan 100 kali dalam satu hari. Jangan lepaskan peluang mendapat ganjaran membebaskan hamba!!!

Apa Selepas Haji?

05/09/2017

Musim haji untuk tahun ini hampir berakhir. Sebahagian besar hujjaj ke Baitullah sudah menyelesaikan ibadah haji mereka. Apabila selesai mengerjakan haji, ada satu perintah Allah yang tidak boleh diabaikan oleh para hujjaj. Iaitu berzikir mengingati Allah Taala.

Perintah ini dirakamkan dalam al-Quran:

فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَاسِكَكُمْ فَاذْكُرُوا اللَّهَ كَذِكْرِكُمْ آبَاءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.” (Al-Baqarah, ayat 200).

Demikian juga dalam ibadah-ibadah lain, Al-Quran mengajar kita supaya selepas selesai mengerjakan ibadah, disambung dengan ZIKIR (sebut dan ingat) kepada Allah.

Surah al-Jumu’ah ayat 10 mengajar kita supaya selepas selesai solat Jumaat diteruskan dengan ZIKIR dengan sebanyak-banyaknya kepada Allah.

Surah al-Nisaa’ ayat 103 mengajar supaya selepas solat khauf (ketika perang), diteruskan dengan ZIKIR kepada Allah dalam apa jua keadan. Hadis-hadis sahih juga mengajar supaya selepas solat farhu, diteruskan dengan zikir kepada Allah.

Surah al-Baqarah ayat 185 mengajar supasa selepas selesai mengerjakan puasa sebulan, diteruskan dengan takbir kepada Allah yang merupakan salah satu zikir yang mulia.

Perintah ZIKIR selepas ibadah mengajar kita bahawa:

1) Zikir (sebut dan ingat) kepada Allah adalah ibadah yang sepatutnya menjadi rutin dan darah daging orang mukmin. Ibadah lain ada penghujungnya, tetapi zikir kepada Allah tiada penghujungnya.

2) Dalam mengerjakan sesuatu ibadah, jangan memikirkan ia hanya sekadar melepaskan kewajipan semata-mata sebagaimana hukum fiqah. Tetapi ia mesti disekalikan dengan penghayatan dan khusyuk kepada Allah, sehinggakan penghayatan kepada Allah berterusan selepas selesai ibadah, melalui zikir.

Orang yang melakukan sesuatu ibadah dengan menghadirkan khusyuk di hati akan mudah melakukan zikir selepas ibadah. Tetapi orang yang merasa bosan dan jemu dalam ibadahnya, jangan harap mereka akan berterusan mengingati Allah selepas ibadah.

3) Zikir (sebut dan ingat) kepada Allah selepas selesai ibadah mendidik kita mencontohi Rasulullah -sallallahu alaihi wasallam- yang diceritakan oleh Aisyah r.a. bahawa baginda sentiasa berzikir kepada Allah dalam apa jua masa.

Pelajari Bahasa Arab…..

04/08/2017

Jika kita berasa malu dan kerdil kerana tidak mampu berbahasa Inggeris, tidak mampu membaca buku, akhbar, mendengar berita dalam Bahasa Inggeris, kenapa kita tidak merasa malu dan kerdil kerana tidak mampu memahami Bahasa Arab, bahasa Nabi kita -sallahu alaihi wasallam-, bahasa Al-Quran, bahasa solat, bahasa zikir…

Apakah ertinya solat yang kita lakukan lima kali sehari semalam, jika bacaan-bacaan dalam solat hanyalah sekadar pergerakan lidah dan bibir tanpa difahami maksudnya di dalam hati. Sedangkan solat adalah ibadah terbesar bagi seorang Muslim dan tiang agama dalam Islam. Solat disifatkan dalam hadis sebagai MUNAJAT (bisikan) antara hamba dengan Tuhannya. Bagaimana mungkin seorang hamba bermunajat kepada Tuhannya, sedang dia tidak faham apa yang dimunajatkan oleh lidahnya….

Hakikatnya, solat fardhu bukanlah sekadar pergerakan anggota zahir, ungkapan bacaan-bacaan wajib dan niat pada permulaan takbiratul ihram. Itu hanyalah solat dari sudut fiqah yang boleh melepaskan kewajipan seseorang muslim.

Tetapi solat yang sebenar ialah solat yang dilakukan dengan menghadirkan bacaan Quran, zikir dan doa di dalam hati. Apabila lidah menyebut doa, hati turut bersungguh-sungguh bermohon dengan penuh rajaa’, apabila lidah menyebut istighfar, hati turut merasa insaf dan takut terhadap dosa-dosa lalu. Ketika lidah membacakan ayat tentang syurga, hati membuak-buak kerana terlalu ingin mengecapinya. Ketika lidah membacakan ayat neraka, hati turut merasa gerun dan gementar, takut dijamah oleh api neraka. Apabila lidah menyebut ayat-ayat tentang sifat Allah, hati turut merasakan kebesaran dan kehebatan Tuhannya.

Jika seseorang mendirikan dan memelihara solat fardhu lima waktu dengan ertikata solat yang sebenar, dengan penuh penghayatan zahir dan batinnya, sudah pasti hubungannya dengan Tuhannya semakin rapat.

Untuk itu, mempelajari Bahasa Arab adalah satu kewajipan. Sepatutnya Bahasa Arab diberikan prioriti yang lebih berbanding dengan bahasa-bahasa asing lain. Sebagaimana tingginya kedudukan al-Quran berbanding buku-buku dan majalah-majalah duniawi, begitulah tingginya kedudukan Bahasa Arab berbanding bahasa-bahasa lain. Sebagaimana besarnya kedudukan Solat Fardhu berbanding amalan-amalan lain, begitulah pentingnya Bahasa Arab berbanding bahasa lain.

Justeru, belajarlah Bahasa Arab…. Sekurang-kurangnya kita faham maksud setiap kalimat yang kita baca, samada bacaan Quran, zikir, atau doa, sama ada dalam solat ataupun zikir-zikir selepas selesai solat.

Muzakarah Berkenaan Bitcoin

21/07/2017

Ada kalangan sahabat bertanya saya berkenaan dengan intipati dan resolusi Muzakarah Ahli Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam di Malaysia kali ke-13, anjuran JAKIM, yang diadakan semalam (20 Julai 2017) berkenaan dengan Bitcoin, atau secara umumnya mata wang digital/ virtual.

Muzakarah semalam menampilkan dua pembentangan kertas kerja iaitu:

1) Penggunaan Mata Wang Digital: Satu Pengenalan, yang disediakan oleh kumpulan penyelidik dari MIMOS. (Dibentangkan oleh Dr Muhammad Reza Za’ba).

2) A Shariah Analysis of Bitcoin, yang disediakan oleh kumpulan penyelidik dari ISRA. (Dibentangkan oleh Dr Farrukh Habib).

Selepas pembentangan kedua-dua kertas kerja dan perbincangan ahli-ahli Muzakarah, saya mendapati:

1. Isu mata wang digital seperti Bitcoin masih diaggap baharu bagi kebanyakan ahli-ahli Muzakarah khasnya, dan para cendekiawan/ ahli akademik secara umumnya. Kerana itu, perbincangan Muzakarah lebih terhala kepada pengenalan apakah itu Bitcoin, bagaimana ia dihasilkan, digunakan, ditransaksi, disimpan, dan bermacam-macam isu teknikal yang berkaitan.

2. Walaupun kertas kerja yang disediakan oleh penyelidik-penyelidik ISRA berkenaan analisis Syariah terhadap Bitcoin telah mengemukakan beberapa isu-isu Syariah yang berpotensi timbul, seperti isu adakah ia dianggap harta (maal) atau tidak, adakah ia dianggap currency atau commodity, bagaimana pemilikannya, bagaimana qabdnya, isu-isu riba yang boleh timbul, isu gharar, spekulasi dan sebagainya, namun isu tersebut belum dapat dibincangkan secara tuntas dalam Muzakarah, kerana ahli Muzakarah lebih memberikan ruang untuk memahami hakikat mata wang digital dan Bitcoin. Ini bertepatan dengan kaedah dalam memutuskan fatwa atau hukum syarak, “Meletakkan hukum ke atas sesuatu adalah cabang kepada tasawwur (gambaran yang jelas/ tepat) terhadap permasalahan”.

3. Justeru, Muzakarah semalam belum mengeluarkan apa-apa resolusi hukum Syarak berkenaan dengan Bitcoin, kerana kajian dan penyelidikan tentangnya masih belum selesai atau diputuskan. Saya percaya isu-isu kontemporari seperti Bitcoin perlu diberikan masa yang cukup untuk penyelidikan dan kajian Syariah berkenaannya, sebelum apa-apa dapatan dikemukakan kepada umum.

Diharap selepas ini akan ada lagi beberapa siri muzakarah, diskusi, wacana dan platform-paltform lain yang menambilkan ulama dan cendekiawan untuk membincangkan isu Bitcoin.

Menghormati Perselisihan Pendapat

03/02/2017

Perselisihan pendapat (khilaf) dalam fiqah berlaku sejak zaman penurunan wahyu lagi. Para sahabat Nabi SAW berselisih pandangan, para tabiien selepas mereka juga berselisih pandangan, para imam mazhab berselisih pandangan, dan perselisihan pandangan itu adalah rahmat kepada umat Islam.
Tanpa mengira apakah mazhab yang kita pegang, dan siapakah imam yang kita ikut, setiap kita mesti iktiraf bahawa khilaf adalah sebahagian daripada ilmu Islam.
Kerana mengiktiraf kewujudan khilaf dan menghormati ilmu dan ulama, Imam Malik menolak cadangan Khalifah Harun al-Rashid untuk menggantungkan kitab Al-Muwatta’ pada Kaabah, dan mewajibkan masyarakat supaya menerima kandungannya. Imam Malik menyatakan:
“Manakala cadangan menggantungkan Al-Muwatta’ pada Kaabah, sesungguhnya para sahabat telah berselisih pendapat dalam perkara-perkara cabang (furuk), dan mereka telah bertebaran (ke serata tempat). Dan setiap pendapat adalah betul di sisi setiap mereka masing-masing”.

Demikian kedudukan khilaf dalam Islam. Alangkah peliknya mereka yang dikatakan ilmuan dan ustaz, tiba-tiba menutup rapat pintu khilaf, bersikap anti terhadap perbincangan khilaf, menganggap perbincangan khilaf sebagai penghinaan terhadap mazhab….

Alangkah terpedayanya mereka dengan secebis ilmu di dada. Orang yang sikapnya sebegini, tidak layak disebut sebagai orang berilmu.

Qatadah mengatakan: “Sesiapa yang tidak mengetahui ikhtilaf (perbezaan pendapat), dia tidak mencium bauan fiqah”.

Hisyam bin Ubaidillah al-Razi berkata: “Sesiapa yang tidak mengetahui ikhtilaf antara fuqaha, maka bukanlah orang faqih”.

Said bin Abi ‘Arubah berkata: “Sesiapa yang tidak mendengar ikhtilaf (perbezaan pendapat), janganlah kamu menganggapnya sebagai berilmu”.

Qabishah bin Uqbah berkata: ” Tidak berjaya seseorang yang tidak mengatahui ikhtilaf antara manusia”.

Khilaf adalah sebahagian daripada ilmu Islam. Untuk mencium haruman ilmu dan bauan fiqah, marilah kita bermula dengan menghormati perselisihan pendapat antara ulama.

Bacaan al-Kahfi Hari Jumaat

03/02/2017

Berkata Imam al-Syafi’e dalam kitabnya al-Umm:

وَأُحِبُّ كَثْرَةَ الصَّلَاةِ عَلَى النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فِي كُلِّ حَالٍ، وَأَنَا فِي يَوْمِ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَتِهَا أَشَدُّ اسْتِحْبَابًا، وَأُحِبُّ قِرَاءَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، وَيَوْمَهَا لِمَا جَاءَ فِيهَا.

“Aku menyukai memperbanyakkan selawat ke atas Nabi -sallallahu alaihi wasallam- pada setiap keadaan. Dan pada hari Jumaat dan malam Jumaat, aku lebih-lebih lagi menyukainya. Dan aku suka membaca surah al-Kahfi pada malam dan hari Jumaat, kerana terdapat hadis berkenan dengannya”. (Al-Umm 1/239).

Hukum Pembedahan Blepharoplasty Pada Kelopak Mata

28/10/2013

ISU: Hukum Pembedahan Blepharoplasty Pada Kelopak Mata

Saya ingin tahu, apakah seorang beragama Islam boleh melakukan pembedahan tersebut di atas. Untuk pengetahuan, Lower Eyelid Blepharoplasty ini adalah sejenis penyakit yang boleh menyebabkan bahagian kelopak mata bawah ada “eye-bag” dan akan memberikan kesan yang buruk kepada sesiapa yang menghadapinya. Kesan yang buruk dari segi kesihatan ialah kegatalan mata yang berterusan, mata berair dan mata akan selalu mengeluarkan tahi mata,di samping itu juga sesiapa yang menghadapi masaalah ini akan membuatkan orang itu nampak letih dan tua daripada usianya yang sebenar. Pembedahan akan dibuat untuk membuang lemak yang ada di bahagian bawah kelopak mata untuk tujuan kesihatan dan juga penampilan diri.

PENJELASAN:

Pembedahan blepharoplasty adalah pembedahan terhadap kelopak mata sama ada kelopak mata atas (upper eyelid) atau kelopak mata bawah (lower eyelid) bagi membuang lemak, tisu, dan kulit yang berlebihan di sekitar kelopak mata. Pembedahan blepharoplasty dilakukan sama ada untuk tujuan kosmetik bagi mengubah penampilan muka supaya kelihatan lebih muda dan cantik, atau dilakukan sebagai prosedur rawatan bagi mereka yang mengalami masalah tertentu pada kelopak mata. Daripada perspektif fiqah, hukum dua kategori tersebut adalah berbeza sebagaimana berikut.

Read more…

Urus Niaga Online Dengan Menjadi Reseller

26/10/2013

ISU: Apakah hukum jual beli sekiranya saya menjual barangan bukan milik saya dengan menjadi ajen atau reseller secara online. Adakah ini haram? Cara yang saya lakukan ialah mempromosikan produk melalui gambar dan sesiapa yang berminat akan memasukkan duit kepada saya. Kemudian saya akan memasukkan duit kepada pengeluar. Dan pengeluar akan menghantar terus produk kepada orang yang memesan produk itu.

PENJELASAN: Antara bentuk perniagaan dalam talian (online) yang diminati pada hari ini ialah dengan cara menjadi reseller bagi sesetengah produk. Modus operandinya ialah reseller mempromosikan secara online produk daripada pembekal atau pengeluar melalui gambar dan perincian berserta harga. Pelanggan yang berminat dan bersetuju untuk membeli akan membayar harga yang dipersetujui kepada reseller dengan cara memindahkan wang ke dalam akaun reseller. Reseller seterusnya membuat pesanan kepada pembekal/pengeluar dan membuat pembayaran. Pembekal/pengeluar membuat penghantaran terus produk yang kepada pelanggan. Keuntungan reseller ialah perbezaan harga antara harga jualannya kepada pelanggan dan harga beliannya daripada pembekal/pengeluar.

Read more…

Bekerja Sebagai Juruwang di Premis Menjual Arak

26/10/2013
tags: ,

ISU:

Saya ingin membuat beberapa pertanyaan berkenaan dengan penjualan arak, kerana terdapat beberapa kekeliruan:

1. Apakah hukum seorang muslim yang bekerja dengan sebuah kedai runcit yang turut menjual arak?

2. Apakah hukum seorang muslim yang menjual arak kepada orang yang bukan muslim, kerana itu termasuk bidang tugasnya di kedai tersebut?

3. Apakah hukum muslim tersebut jika dia tidak menjual arak kepada sesiapa juga, tetapi hanya menjual barang-barang lain? Penjualan arak diserahkan kepada orang yang bukan muslim.

PENJELASAN:

Seorang Muslim tidak dibenarkan untuk bekerja dalam sektor yang melibatkan dirinya dalam hal-hal berkaitan dengan arak, seperti penjualan arak, pemprosesan arak, pengangkutan arak, penyimpanan arak dan seumpamanya. Larangan ini dinyatakan oleh Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis:

Read more…

Penggunaan Alkohol Sebagai Bahan Sanitasi

22/10/2013
ethyl-alcoholISU: Adakah ethyl alcohol @ ethanol dari fermentation of sugar cane@tebu halal untuk digunakan sebagai bahan sanitasi?

PENJELASAN: Ethanol atau etil alkohol (ethyl alcohol) adalah sejenis alkohol yang biasa digunakan di dalam pembuatan minuman keras (arak). Selain untuk tujuan tersebut, ia juga digunakan sebagai bahan api, bahan pembersihan (sanitasi) dan lain-lain.

Dalam menjawab isu yang dikemukakan, keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 adalah dirujuk. Muzakarah memutuskan:

Read more…